Saturday, May 18, 2019

Menyusuri kota Seoul secara efisien

K-Pop, itulah perkara yang terlintas di fikiran kami apabila merancang untuk melawat Seoul. Hakikatnya kami bukanlah peminat tegar K-Pop, namun terdapat beberapa filem Korea yang menarik minat kami seperti Architecture 101, Sunny dan Spellbound. Untuk menambah pengalaman pengembaraan kami, kami terbang ke Seoul sebagai destinasi pilihan pada penghujung bulan April yang lalu.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kami mencari kedai serbaneka untuk mendapatkan kad T-Money sebagai medium pembayaran tambang pengangkutan awam di sini. Ia boleh digunakan untuk perkhidmatan keretapi, bas dan juga teksi.

Perut yang berkeroncong membawa kami ke Myeongdong Street untuk mencari makanan. Atas nasihat rakan yang berpengalaman, kami memilih Busan Jib, sebuah kedai makanan halal di kawasan tersebut. Antara menu yang disediakan adalah asam pedas, ikan bakar dan bibimbap iaitu nasi putih yang dihidangkan bersama sayur-sayuran, hirisan daging dan telur mata kerbau. Kimchi wajib dihidangkan bersama, berfungsi ibarat sambal belacan di negara kita.

Sotong kurita menjadi pilihan penulis

Myeongdong Street amat terkenal dengan deretan gerai-gerai makanan jalanan (street food) di tengah-tengah bandar tetapi hanya dibuka pada waktu malam. Konsepnya hampir sama dengan pasar malam Jalan TAR di Kuala Lumpur.

Lokasi membeli-belah yang sentiasa menjadi tumpuan umum

Selepas makan, kami menyusuri Namdaemun Market yang terletak berdekatan untuk mencari cenderahati untuk keluarga dan rakan-rakan di Malaysia. Apabila kaki sudah terasa hampir kejang, kami pun mengambil keputusan untuk mendaftar masuk ke hotel untuk melepaskan lelah selepas hampir seharian suntuk berjalan.

Bergambar sebelum solat Jumaat bermula

Hari kedua dimulakan dengan misi mencari Seoul Central Mosque di Itaewon untuk menunaikan solat Jumaat. Selepas solat, kami menjamu selera di Makan Restaurant yang terletak di sekitar kawasan masjid. Menu pilihan kali ini adalah ikan bakar dan bulgogi, iaitu hidangan Korea yang berasaskan daging. Pelbagai restoren halal yang ada di sini, memudahkan muslimin dan muslimat untuk membuat pilihan.

Antara mangga-mangga cinta yang dikunci di sekitar N Seoul Tower

Kami meneruskan perjalanan menuju ke N Seoul Tower dengan menggunakan Namsan Cable Car. Antara tarikan popular di sini adalah ribuan mangga yang dikunci sebagai tanda simbolik cinta abadi pasangan-pasangan tersebut. Dari situ juga kita boleh menikmati pemandangan bandaraya Seoul dari atas.

Berhadapan pintu gerbang istana

Logo Olimpik di pintu masuk stadium

Meneruskan pengembaraan pada hari ketiga, kami bergerak ke Gyeongbok Palace untuk merasai pengalaman berada di kawasan istana Korea yang dibina semasa era Dinasti Joseon. Selepas itu kami bergerak ke Jamsil, di mana terletaknya Olympic Stadium dan Lotte World Tower. Olympic Stadium adalah stadium utama ketika Seoul menjadi tuan rumah Sukan Olimpik pada tahun 1988. Manakala Lotte World Tower pula merupakan bangunan tertinggi di Korea Selatan dengan ketinggian hampir 555 meter. Buat masa ini ia merupakan bangunan kelima tertinggi di dunia. Sebelum kembali ke hotel, kami singgah di Dongdaemun Design Plaza, di mana salah satu tarikannya adalah LED Rose Garden.

Deretan bunga mawar putih LED di Dongdaemun Design Plaza

Tugu cinta drama Winter Sonata

Kata orang lawatan ke Seoul tidak lengkap jika tidak berkunjung ke Nami Island. Oleh itu, kami pun mula bergerak ke sana pada hari keempat. Perjalanan dari hotel ke jeti Nami Island mengambil masa hampir dua jam menggunakan bas persiaran manakala perjalanan feri dari jeti ke pulau tersebut hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja. Nami Island merupakan lokasi penggambaran babak-babak romantik Winter Sonata, sebuah drama Korea yang amat popular satu ketika dulu. Kami tidak melepaskan peluang untuk bergambar bersama di tugu dua watak utama drama tersebut, Joon-sang dan Yoo-jin. Nami Island ini amat mesra pelancong muslim di mana terdapat surau yang selesa dan restoren halal yang menyediakan masakan Korea yang pelbagai.

Kelihatan beberapa pelancong menggayakan busana Hanbok sebagai kenangan

Telah tiba masa untuk pulang ke Malaysia. Pada hari terakhir di sini, sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, kami singgah di Bukchon Hanok Village untuk merasai pengalaman berada di deretan rumah-rumah tradisional Korea. Ramai pelancong menyewa busana Hanbok, pakaian tradisional Korea untuk dijadikan kenangan terindah semasa sesi bergambar.

Seoul merupakan sebuah kota metropolis yang mempunyai sistem pengangkutan awam yang sangat efisien. Perjalanan dari satu tempat menarik ke tempat menarik yang lain amat mudah, lancar dan selesa. Harapan kami agar kawasan Lembah Klang di Malaysia dapat menandingi kecekapan Seoul dari segi pengangkutan awam ke tempat-tempat menarik di sekitarnya satu hari nanti.

Jumpa lagi, Seoul.

No comments:

Post a Comment